Panduan bacaan doa ini telah diluluskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 bersamaan 21 Syawal 1415 Hijrah.
PENDAHULUAN
Doa merupakan satu ibadat. Ia merupakan satu tanda kerendahan hamba terhadap Tuhannya. Ia boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan. Sesuatu ibadah itu hendaklah dilakukan dengan ikhlas, khusyuk, tertib dan penuh tawaduk. Dengan demikian ia mesti dilakukan dengan cara yang sesuai dengan kehendak syarak. Ini bermakna doa bukan boleh dilakukan sebagai satu acara kebudayaan atau adat yang kosong dari roh ibadat atau rasa tawaduk kepada Allah. Doa merupakan salah satu cara hidup orang Islam yang diajar oleh Rasulullah S.A.W.
Sebagai satu ibadat, doa hendaklah dilakukan di tempat yang betul, pada masa yang sesuai, pada suasana yang baik. Garis panduan doa dibawah adalah bagi bacaan doa secara berkumpulan yang harus dilakukan dalam mana-mana majlis atau upacara rasmi atau separuh rasmi di negara ini. Tujuan majlis yang akan menentukan sama ada doa itu harus dilakukan atau sebaliknya.
TAKRIF DOA
Doa ialah satu ucapan permohonan dari hamba kepada Allah dari hati yang ikhlas bagi mendapatkan rahmat, inayah dan pertolonganNya atau menolak bala dan bencana dengan cara dan adab yang tertentu.
TEMPAT BERDOA
Tempat berdoa yang diharuskan antaranya ialah di tempat-tempat perhimpunan yang bertujuan untuk kebaikan seperti perhimpunan di masjid-masjid, dewan, madrasah, rumah kediaman dan ruang terbuka (seperti padang).
Tempat berdoa yang tidak diharuskan ialah tempat yang terdapat perkara-perkara yang boleh mencemarkan kesucian Islam. Di antara tampat-tempat tersebut ialah tugu, tempat yang terdapat patung-patung manusia, atau patung-patung haiwan, gambar-gambar atau lukisan-lukisan yang tidak sopan yang terkeluar dari akhlak Islam.
Begitu juga tempat-tempat yang mengandungi acara-acara atau aktiviti-aktiviti yang ditegah atau bertentangan dengan Islam seperti majlis tari menari atau yang menghidang minuman keras dan sebagainya. Contoh dalam majlis "THANKS GIVING' dalam gereja!!!!
MASA BERDOA
Masa berdoa bagi majlis rasmi atau separuh rasmi sebaik-baiknya pada permulaan majlis berkenaan.
SUASANA KETIKA BERDOA
Suasana semasa berdoa hendaklah dalam keadaan majlis yang tenang dan khusyuk.
TUJUAN DAN CARA BERDOA
Setiap doa hendaklah mempunyai tujuan yang baik yang dibenarkan oleh syarak.
Doa yang diucapkan hendaklah diadakan dalam keadaandan cara berikut:
a. Diketahui tujuan berdoa atau apa yang hendak dipohon dari Allah;
b. Dibaca dengan betul mengikut adab-adab doa;
c. Dibaca dengan suara yang sederhana.
d. Dibaca dengan nada dan rasa yang khusyuk dan tawaduk kepada Allah S.W.T.; dan e. Dibaca dengan penuh yakin dan ikhlas agar ia dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
SYARAT-SYARAT PEMBACA DOA
(a) Ia seorang yang berkemampuan dalam bacaan doa
(b) Ia mengetahui kesesuaian doa yang dibaca bagi sesuatu majlis yang diadakan.
PENUTUP
Adalah diharapkan garis panduan ini dapat digunapakai oleh Jabatan-jabatan Kerajaan, pihak swasta serta seluruh umat Islam di Negara ini demi menjamin semua amalan agama yang dilakukan mengikut kehendak syarak yang sebenar dan suci dari sebarang pencemaran dan seterusnya dimakbulkan oleh Allah S.W.T.